RM200 elaun Ketua Kampung Perak - Hanya yang jujur akan kekal

>> Thursday, May 08, 2008

IPOH: Seramai 817 ketua kampung di Perak kini akan hanya menerima elaun bulanan RM200 daripada kerajaan negeri tanpa elaun tambhan RM400 sebulan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.


Beliau berkata dengan demikian, jawatan ketua kampung tidak lagi akan menjadi rebutan seperti sebelum ini disebabkan ganjarannya, sebaliknya jawatan itu akan diisi oleh mereka yang benar-benar jujur untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Katanya ketua kampung yang baru juga tidak lagi akan dibenar melaksanakan sendiri pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing seperti sebelum ini. "Projek-projek ini akan dilaksanakan mengikut kaedah-kaedah tertentu dan bukannya diserahkan kepada ketua kampung untuk melaksanakan dan menentukan kontraktor mana nak buat. Jadi, ketua kampung tidak mempunyai banyak projek untuk mereka melaksanakannya seperti sebelum ini.

"Itu sebab dulunya jawatan ketua kampung itu dicemburui, orang nak (jawatan) ketua kampung tapi di sini konsep ketua kampung itu adalah satu amanah, bukan banyak sangat ganjaran," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Semasa Perak dikuasai Barisan Nasional sebelum ini, ketua kampung turut menerima elaun bulanan RM400 yang dibayar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah selain elaun bulanan RM200 yang dibayar oleh kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata mesyuarat exco hari ini turut membuat keputusan meminta Pejabat Tanah dan Galian Perak membekukan serta-merta pemberian geran hak milik kepada mana-mana individu atau syarikat yang memohon kawasan tanah yang telahpun diterokai oleh pihak lain sejak lama dulu.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah kerajaan negeri mendapati terdapat unsur diskriminasi dan ketidakadilan dalam keputusan memberikan geran hak milik sedemikian oleh kerajaan sebelum ini.

"Bukan bermakna kita bersetuju dengan penerokaan (haram) tetapi sekurang-kurangnya kita akan mengkaji setiap kes itu satu per satu," katanya.

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP