TANDA-TANDA BN AKAN BUNGKUS DI PRU 13

>> Sunday, March 25, 2012

Kajang, 02 Jmadil Awal 1433 = 25 Mac 2012 (Ahad):


Ketika Dato` Seri Najib sibuk berkeliling Negara berkempen untuk pilihanraya dan memberi tumpuan khusus terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat, lebih khusus lagi terhadap Selangor dan semalam nampaknya beliau berkeyakinan sokongan berpihak kepadanya yang selama ini diisyaratkan meningkat hingga 62%, maka semalam beliau menyebut pilihanraya sudah dekat.

Namun sebagai pukulan terhadap keyakinannya, maka pada hari ini satu perhimpunan secara besar-besaran masyarakat Cina yang memberi sokongan terhadap desakan agar kekurangan guru-guru di sekolah-sekolah Cina hendaklah diatasi segera. Desakan melalui perhimpunan ini dilakukan di dalam kawasan Kolej Dong Jiau Zong, di Kajang. Adun Bangi yang sebelumnya menerima jemputan rasmi ke perhimpunan ini turut hadir ke perhimpunan ini yang termasuk di bawah Dun Bangi, iaitu mulai jam 11.00 pagi. Dalam perjalanan ke perhimpunan melalui Lebuhraya Silk sebelum membelok ke Jalan Bukit di mana lokasi perhimpunan diadakan, Adun melihat jejaran bas-bas yang datang dari pelbagai tempat termasuk dari luar Selangor beratus buah memenuhi ruang-ruang di hadapan bangunan-bangunan Kajang Sentral membawalah ke Jalan Bukit. Kereta pula memenuhi segala ruang dan manusia pula mengombak penuh di luar pagar lebih-lebih lagi di dalam kawasan Dong Jiau Zong.

Walau bagaimana Adun bersama saudara Azizi, walaupun di tengah-tengah kesesakan kenderaan dan manusia, kerana ada Logo Pas dan Negeri Selangor pada kenderaan Pusat Khidmat Adun Bangi diberi ruang terus masuk ke dalam kawasan dan parking di bahagian atas kawasan berbukit. Pada asalnya oleh kerana terlampau ramai dengan hadirin dan begitu sukar untuk mencelah masuk, Adun mengambil keputusan untuk mendengar dari jauh, tetapi Adun dipandu oleh AJK mencelah antara sesak manusia dibawa ke hadapan majlis yang sedang berjalan dengan ucapan-ucapan para pemimpin Dong Zong (United Chinese School Committees Association). Adun diberi tempat duduk menggantikan tempat Dato` Abu Bakar Chik yang keluar lebih awal. Kedapatan yang hadir antaranya Y.B. Dr. Che Rosli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, En. Jiau Ming Bekas Menteri Kesihatan yang menyertai Pakatan dan memimpin Pakatan di Johor, beberapa Exco dari Pakatan Rakyat Negeri Selangor seperti Elizabeth Wong, Ronnie Liu, Ean Yong, Dr. Halimah (Exco Pendidikan) yang tiba agak lewat, tetapi cuba diserbu oleh hadirin, kerana mengalu-alukan kehadirannya – kerana bantuan tahunan Sekolah, termasuk Sekolah Cina. Untuk keselamatannya beliau dikawal dari serbuan. Yang agak berani datang di tengah-tengah semangat dan kemarahan rakyat ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Wee Kia Siong – kita hormati keberaniannya. Kehadiran beliau menjadi objek kemarahan. Sebab itu setiap sambutan terhadap ucapan dan sorakan dituju kepada Datuk Wee Kia Siong. Orang ramai yang hadir mengacah-ngacah terhadapnya yang berdekatan dengan Dr. Halimah. Kita menjangka beliau diberi peluang berucap, sekurang-kurangnya untuk menjawab perkara yang ditimbulkan oleh pemimpin-pemimpin Dong Zong, tapi nampaknya tidak diberi peluang dan tidak juga pemimpin-pemimpin politik yang lain. Ucapan lima, enam orang adalah dari pemimpin Dong Zong dan seorang pemimpin Sekolah Tamil. Yang lain hadir dan turut berslogan dan bersorak. Pada akhirnya dibacakan resolusi oleh pemimpin Dong Zong yang diucapkan dalam bahasa Mandarin, Melayu dan English yang mahu masalah kekurangan guru-guru dan fasiliti di sekolah-sekolah Cina diselesaikan segera.

Apabila Majlis berakhir jam 12.30 tengahari, perlindungan keselamatan terpaksa diberi kepada Timbalan Menteri Pelajaran, kerana beliau diserbu orang ramai dan terpaksa diiring keluar oleh pasukan keselamatan bagi keselamatannya, manakala yang lain-lain terpaksa bersesak-sesak dalam himpunan manusia yang dijangka berjumlah dalam lingkungan 20 ribu orang.

Apa yang hendak ditunjukkan bahawa, BN tidak mudah untuk mendapat sokongan dari masyarakat Cina yang dikatakan mulai ada perubahan sokongan terhadap BN. Tapi dari bukti hari ini dan isu ini terus diperhidupkan, terutama dalam masyarakat Cina, maka adalah sukar bagi BN mendapat sokongan dari masyarakat Cina.

Di dalam konteks Selangor yang dari survey, menunjukkan Pakatan Rakyat makin meningkat dari sokongan rakyat (65%), maka dengan sokongan rakyat, termasuk orang-orang Cina, peluang untuk menawan Selangor adalah tipis. Perlu diingatkan bahawa pengaruh terhadap Najib, tidak bererti pengaruhnya turut berlaku pada wakil rakyat BN setempat. Misalnya Datuk Seri Najib, turun membahagi bantuan banjir kepada penduduk Hulu Langat yang berkelayakan menerima, memanglah mendapat pujian dari setengah pihak dan sanjungan terhadap Najib. Tapi yang perlu diingat oleh rakyat, ialah wakil atau pemimpin setempat yang bekerja sepenuh masa dan berterusan memberi khidmat. Ini adalah penilaian utama, bukan datang sebagai bidan terjun dan sekaligus beri bantuan. Kita yakin dengan melihat kepada kepimpinan negeri Selangor di dalam Dewan Negeri Selangor, prestasi mereka jauh lebih rendah dari ahli-ahli Dewan dari Kerajaan Pakatan, sebagai contoh perbandingan dari segi idea dan komitmen mereka di dalam Dewan dan mungkin juga di luar Dewan – di tempat masing-masing. Sedang isu tempatan, negeri dan nasional yang dihadapi BN jauh lebih banyak dan tak diselesaikan. Ini semua kita berharap dapat diberi pertimbangan yang wajar oleh rakyat.

Berilah kepercayaan kepada yang bekerja berterusan, mempunyai agenda untuk rakyat berterusan, bukan kerana dekat dengan pilihanraya, baru mulai mahu bekerja.

Sekian.

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP