Adakah merayu undi di luar jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi adalah salah di sisi undang-undang?

>> Monday, March 14, 2011

Oleh: Hj Zulqarnain Lukman
(Penulis adalah seorang Peguam dan Pengarah, Jabatan Undang-undang Dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Pusat)

Seksyen 26(1)(e)(ii) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) (“AKP”) menyatakan:

“Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi menyemak dalam mana-mana senarai nama mana-mana orang yang memasuki atau meninggalkan sesuatu tempat mengundi.”

Cuba saudara baca dengan teliti peruntukan di atas dan memahaminya menurut laras bahasa yang menjadi kelaziman biasa. Saya juga telah membaca sekali lagi peruntukan tersebut dan apa yang saya faham adalah bahawa semakan daftar pemilih boleh dilakukan pada hari mengundi ke atas mana-mana pemilih dengan syarat ianya dibuat melebihi jarak 50 meter dari sempadan tempat mengundi.

Saya cuba mencari kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (“SPR”) berkaitan hal ini dan SPR telah menyatakan dalam laman webnya bahawa dengan pindaan tahun 2003 maka peruntukan seksyen 26B AKP yang sebelum ini membenarkan perlantikan ‘Perayu Undi’ dimansuhkan dan dengan pemansuhan itu maka ianya menjadi suatu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Atas justifikasi yang sama, SPR melarang ‘pondok panas’ didirikan di kawasan tempat mengundi. ‘Pondok panas’ ini dikatakan punca berlakunya ‘tensions’ dan segala bentuk ketegangan serta kesesakan. Tambahan lagi, SPR sendiri telah mendirikan barong bagi maksud menyemak daftar pemilih dan untuk mengelakkan kekeliruan menggunakan daftar pemilih yang berbeza. Tempoh berkempen pula telah tamat pada malam sebelum hari pengundian.

Saya katakan bahawa SPR telah silap memahami peruntukan undang-undang ini. Pentafsiran sebegitu oleh SPR tidak berlandaskan prinsip pentafsiran undang-undang. Keutamaan menggunakan kaedah literal dalam pentafsiran peruntukan undang-undang harus diberikan perhatian melainkan pentafsiran sebegitu boleh mendatangkan maksud yang menyeleweng. Maksud Seksyen 26 AKP ini sangat jelas bahawa menyemak senarai nama pemilih di luar jarak 50 meter adalah dibenarkan. Tindakan SPR menggunakan alasan yang dikatakan menjadi penyebab pembatalan seksyen 26B AKP tidak munasabah untuk diterima kerana seksyen 26(1)(e)(ii) AKP boleh berdiri secara berasingan daripada seksyen 26B AKP. Seseorang hanya perlu membaca seksyen 26(1)(e)(ii) AKP untuk memahami bahawa pondok panas, aktiviti menyemak undi dan rayuan kepada pengundi boleh dibuat.

Jika kita menurut pentafsiran SPR maka bermakna seksyen 26(1)(e) AKP akan menjadi sia-sia. Tidak mungkin sesuatu seksyen yang wujud itu hanya sia-sia. Oleh itu, saya melihat cara SPR menetapkan hal ini adalah tidak lebih satu pemahaman yang silap. Kamar Peguam Negara seharusnya bertindak segera membetulkan tindakan songsang SPR ini sehingga menyusahkan petugas parti bertanding.

Berkaitan dengan hujahan mengenai SPR telah menubuhkan barong SPR dan oleh itu, barong parti yang bertanding sudah tidak relevan adalah tidak boleh diterima. Seksyen 26A AKP hanya memberikan kuasa kepada SPR untuk menubuhkan barong. Namun, kewujudan Seksyen 26A AKP itu tidak pula membataskan penubuhan pondok panas yang didirikan oleh parti bertanding.

Mengenai hujahan SPR yang menyatakan bahawa tempoh kempen telah tamat pada waktu tengah malam hari sebelum pembuangan undi maka saya katakan bahawa seksyen 26(1)(e) AKP adalah pengecualian kepada peraturan umum berkaitan larangan berkempen ini. Dalam hal pertentangan antara peraturan umum dan peraturan khusus maka peruntukan yang khusus itu harus digunakan dan diutamakan daripada peruntukan yang umum.

Seharusnya SPR lebih menumpukan kepada reformasi undang-undang daripada menimbulkan soal kecil berkaitan pondok panas, menyemak nama pemilih dan perayu undi. Jika dilihat sejarah pilihan raya di Malaysia saya tidak dapat mengingati apa-apa peristiwa yang tidak diingini berlaku disebabkan permasalahan yang timbul dari pondok panas, kempen merayu dan menyemak daftar pemilih. Aneh sekali, SPR enggan melayan tuntutan supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan saksama. Tuntutan untuk menggunakan dakwat kekal dan peluang mendapatkan akses media secara sama rata sepatutnya lebih diutamakan. Sepanjang tempoh berkempen di Prk N.27 Merlimau dan N. 28 Kerdau kita dapat melihat berjuta wang ringgit ditaburkan kepada pengundi. Selain itu, segala infrastruktur asas seperti jalan raya dengan ajaibnya diperbaiki dalam tempoh 24 jam sedangkan jalan raya di kawasan itu sejak sekian lama tidak diperbaiki. Jentera kerajaan bertumpu dan berkampung di mana pilihan raya kecil dibuat. Adalah tidak munasabah SPR dengan begitu naïf menyatakan hal ini dibenarkan oleh undang-undang sedangkan SPR sendiri faham bahawa hal begitu tentu sekali mempengaruhi pengundi.

Oleh itu, saya menyeru kepada SPR untuk membuat pembaikan secara menyeluruh terhadap sistem pilihanraya di negara ini. Saya juga berharap kepada aktivis politik untuk meneruskan gerakan BERSIH dan mengadakan himpunan besar-besaran bagi memulihkan kembali sistem demokrasi yang sihat.

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP