APAKAH ZAMBRY TAK TAHU ITU KERJA KHURAFAT??

>> Saturday, October 30, 2010

BERITA HARIAN ONLINE

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MisteriEtnik_DaunmanggasimbolkeagamaanmasyarakatChetti/Article/index_html

Misteri Etnik: Daun mangga simbol keagamaan masyarakat Chetti
Oleh Azrul Affandi Sobry

2010/07/13

Cara hidup, amalan kebudayaan banyak persamaan dengan orang Melayu walaupun amalkan kepercayaan Hindu

Bahagian tiga SUSUNAN daun mangga yang rapat dalam jumlah ganjil menjadi simbol utama untuk mengenali rumah masyarakat Chetti Melaka. Ia sama dengan daun mangga digunakan orang India di pintu rumah, tetapi susunannya tidak sama, malah dikatakan prosesnya juga ada sedikit berbeza.
Daun mangga digunakan untuk menandakan rumah masyarakat itu bers aiz besar sepanjang sejengkal dan diambil daripada pokok mangga tertentu seperti mempelam atau popular dikenali sebagai mangga monyet dalam masyarakat itu kerana ia lebih kuat dan tahan lama.

Rotan pula digunakan sebagai tali yang diraut kemas dan direndam sehari semalam supaya lembut untuk mudah dijahit masuk ke daun mangga. Sebanyak 21 helai daun mangga dicucuk dan perlu digantung mengikut masa tertentu iaitu antara jam 8 hingga 10 pagi. Itu antara perbezaan utama dengan orang India yang hanya sembilan helai daun mangga.

Seorang penduduk di Kampung Chetti, Nadarajan, berkata masyarakat Chetti dan India menggantung daun mangga di pintu rumah sebagai simbolik untuk menggantikan Tuhan Ganesha yang disembah sejak keturunan mereka di India. Namun lantaran sukar mendapatkan gambar Ganesha, mereka menggunakan daun mangga kerana Tuhan itu dikatakan gemar makan mangga.

“Jumlah daun digunakan meskipun ganjil, tidak pula boleh 15 atau angka lain selain 11, 21 atau 31. Maksudnya mesti ada angka 1. Ia sama juga jika kami beri duit kepada orang, mesti ada beri lebih RM1. Ia sebenarnya sebagai tanda atau simbolik yang angka 1 itu adalah ‘jerki’ (rezeki) pulangan kepada kami nanti.
“Daun mangga akan digantung selama setahun dan ditukar setiap kali tiba tahun baru India. Namun, jika ada kematian dalam rumah, ia perlu diturunkan. Selepas tempoh 16 hari upacara kematian, barulah ia digantung semula dengan yang baru. Begitu juga jika ada kemalangan, bukan setakat daun mangga, apa saja gambar perlu diturunkan. Ia adat perlu dipatuhi,” katanya ketika memulakan cerita mengenai keunikan dan cara hidup masyarakat Chetti seharian.

Berkenaan struktur rumah masyarakat itu, Nadarajan berkata, ia mempunyai ciri-ciri khas iaitu bahagian bawah binaannya dibuat menggunakan papan, manakala seba hagian di sebelah atas menggunakan batu. Pembinaan rumah pula mesti dimulakan dengan menaikkan tiang seri di bahagian depan rumah.

Tiang seri itu akan diikat, disembah dan diikat

dengan daun mangga, daun serai dan kain merah sebagai tanda ia tiang pertama yang akan dinaikkan sebelum membina rumah. Ia dinaikkan di rumah ibu (rumah depan) kerana struktur rumah Chetti Melaka, bermula satu ruang hadapan, sebelum bahagian belakang yang mempunyai satu lagi ruang tamu dan dapur.

Lebih unik lagi, jika dilihat kepada struktur asal rumah Chetti Melaka, ada satu lubang angin bagi laluan air selain digali perigi dalam rumah. Ia digunakan secara tradisi sebagai ruang mandi satu ketika dulu di Tengkera sebelum berpindah ke Gajah Berang di mana perigi tidak lagi digunakan.

Ketika Berita Harian melawat sebuah rumah di Tengkera yang menjadi satu-satunya rumah yang masih didiami sekeluarga masyarakat Chetti, nyata perigi masih digunakan di sebelah ruang dapur. Penghuninya, Kasisiva Maharani, 66, menyatakan yang perigi berkenaan memang dibina ketika pembinaan rumah itu dan terus digunakan sehingga kini kerana airnya sejuk dan menyegarkan.

Penggunaan perabot rumah juga menampakkan keunikan masyarakat itu yang mengekalkan tradisi asal. Kebanyakan rumah ada perabot antik termasuk kerusi meja yang biasanya diletak di rumah ibu (ruang utama depan rumah). Almari perhiasan juga nampak unik dengan ukiran kayu bagi menyimpan khazanah keluarga. Jika diamati, susun atur rumah mereka tidak ubah seperti rumah Melayu di kampung.

Kebanyakan rumah mempunyai tiga bilik dengan masih ramai menggunakan katil bertiang tinggi yang turut digelar katil pelamin. Masih ramai keluarga yang tinggal beranak pinak dalam rumah sama termasuk bersama menantu dan ia jelas dapat dilihat di rumah Ketua Wanita masyarakat itu, K Kanamah Pillay.

Kepercayaan masyarakat ini terhadap benda mistik nampak begitu dekat dengan orang Melayu. Ada yang meletak batang kelo di dinding rumah, kononnya untuk menghalang benda tidak elok memasuki rumah. Ada juga yang menggunakan ladam kuda, jala laut dan besi berani untuk tujuan sama.

“Dulu, macam-macam mereka letak di atas pintu dalam rumah, namun kini sudah tak ramai mengamalkannya. Saya sendiri hanya letak ladam kuda. Itupun kerana sudah diletak di situ sejak nenek saya tinggal di sini dan kami sekadar meneruskannya. Difahamkan, objek itu tidak boleh diturunkan.

“Boleh dikatakan, kebanyakan cara hidup asal masyarakat kami sudah semakin terhakis. Tak ada lagi rumah menggunakan perigi di rumah terutama di Gajah Berang ini. Perabot pun tak semuanya antik. Ramai sudah guna perabot moden,” kata Nadarajan.

Apapun, apabila melihat pakaian, makanan dan pergaulan, boleh dikatakan Chetti Melaka 100 peratus sama seperti Melayu. Dengan berkain batik dan berkebaya, makan pula makanan yang sama dengan menu orang Melayu serta petah berbahasa Melayu, kadangkala tak keterlaluan jika dikatakan ada ketikanya melihat mereka seperti raut muka orang Melayu.

Malah, kefasihan dan kepetahan berbahasa Melayu dengan sangat ramah menjadikan sesiapa saja orang Melayu takkan rasa kekok untuk terus berada bersama mereka, malah tak kekok juga untuk bermalam di rumah mereka, lantaran tidak ada langsung sebarang kelainan dirasakan kecuali agama mereka.

“Orang Melayu boleh datang ke rumah kami dan bermalam selama sebulan dengan selesa. Begitu juga kami boleh tinggal di rumah mereka tanpa ada sebarang masalah. Berbeza dengan apa yang kami dengar di mana sangat sukar untuk orang Melayu tinggal di rumah orang India. Ia menjadi bukti, bahasa itu menyatukan bangsa,” kata Nadarajan lagi.

Sekali lagi kata-kata Nadarajan bukan sekadar penyedap cerita kerana kebetulan ketika Berita Harian mengunjungi rumahnya, ada seorang lelaki warga Indonesia boleh bebas keluar masuk, menonton televisyen dan makan bersama seperti rumah sendiri membuktikan meskipun dia Islam, dia masih boleh selesa di rumah seorang beragama Hindu kerana wujudnya rasa selesa.

Namun, di sebalik kehidupan harian yang lebih dekat dengan orang Melayu, mereka tak pula mempunyai hubungan rapat dengan orang India lain dan sekali lagi mungkin disebabkan isu bahasa. Di Kampung Chetti, lebih banyak kelihatan masyarakat Baba Nyonya yang turut menjadi kawan rapat orang Chetti.

Meskipun masyarakat ini sudah semakin diasak arus kemodenan, masih ada beberapa peralatan lama digunakan sehingga kini seperti sia (bekas makanan bertingkat) terutama untuk menghantar kuih ketika ‘Parcu Buah-Buahan’ pada 16 Jun hingga 16 Julai setiap tahun yang turut dikenali sebagai sembahyang arwah dalam masyarakat itu.

Selain itu, tepak sirih masih digunakan sehingga kini terutama sebagai alat utama menyambut tetamu. Satu ketika dulu, tetamu tidak boleh masuk ke rumah selagi tepak sirih tidak dihulur kepadanya. Namun, kini ia tidak lagi popular kerana tidak ramai yang gemar memakan sirih.

Ketika leka berbual dengan Nadarajan, terdengar bunyi hentakan lesung di dapur dan secara spontan beliau berkata, itu antara satu lagi keunikan masyarakat itu yang masih menggunakan lesung batu berbanding masyarakat India lain yang lebih terkenal dengan batu giling.

Secara keseluruhan, agak banyak cara hidup masyarakat itu yang sangat dekat dengan orang Melayu. Ini sekali gus menjadi keunikan utama mereka serta membolehkan wujudnya satu hubungan masyarakat muhibah yang erat di Bandar Raya Bersejarah itu.

0 comments:

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP